Prakata
Dunia kini telah memasuki zaman maklumat di mana ilmu pengetahuan dan maklumat bukan sahaja menjadi asas kepada kejayaan tetapi kuasa kepada kebebasan. Aset dan potensi tidak lagi dinilai dari sumber fizikal yang dimiliki tetapu kepada pengetahuan dan maklumat yang dikuasai. Kini tidak ada negara kaya dan maju yang tidak menguasai maklumat dan ilmu pengetahuan dengan baik dan sebaliknya. Jika Malaysia benar-benar ingin maju dan bebas, maka adalah penting bagi rakyatnya menguasai bidang ini.
Internet direka pada awal 70-an dan ia membolehkan penyelidik di seluruh Amerika Syarikat berkomunikasi untuk berkongsi maklumat, ilmu pengetahuan dan pengalaman. Dengan sekaligus, terbangunlah pelbagai aplikasi Internet yang membolehkan penyelidik berkomunikasi. Lebuhraya maklumat yang dibina menyokong perjalanan aplikasi Internet yang telah dibangunkan. Kini setelah hampir 30 tahun ditubuhkan, kemudahan yang diperolehi daripada Internet menjadi milik sejagat. Internet telah menjadi satu sumber yang amat berharga dimana pelbagai bentuk maklumat dan pengetahuan terkini boleh diperolehi dengan mudah, cepat, dan percuma.
Kewujudan Internet hingga ke hari ini bukan sahaja kerana ia dicipta berasaskan kepada teknologi yang tahan lasak dan cekap tetapi kerana maklumat dan pengetahun itu sendiri telah menjadi satu komoditi yang semakin penting dalam menentukan tahap progres dan daya saing setiap individu atau organisasi. Kini Internet menjadi alat komunikasi dan penyebaran maklumat yang digemari kerana capaian yang global itu dapat menghubungkan bilangan penerima yang tidak terhad. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa semakin ramai individu dan organisasi meletakkan kemahiran menguasai Internet sebagai sangat stratergik. Walaupun Internet yang ada sekarang di bina berasaskan kepada teknologi 70-an, ia telah berjaya mengubah corak sosial ekonomi dan geopolitik dunia dengan mendadak. Kini, Internet menawarkan peluang yang sangat menarik dan tidak terbatas bagi bidang pendidikan, perdagangan, perkhidmatan, komunikasi, hiburan, pentadbiran dan lain-lain lagi. Internet di masa hadapan akan tentu jauh lebih canggih daripada yang sedia ada.